Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.
Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.
Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.
Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.
Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.
Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.
Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”
Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?
Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?
Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.
Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!
Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.
Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!
Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.
Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.
Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.
Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?
Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.
Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.
Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?
Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?
Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!
0 comments: